
Laporan itu dibuat oleh Setiausaha UMNO bahagian itu, Datuk Ahmad Darus di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini kira-kira pukul 10 pagi.
Dalam laporannya, Ahmad mendakwa kenyataan Johari seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian semalam sebagai tuduhan yang tidak berasas dan berunsur fitnah.
"Tuduhan ini dibuat tanpa asas yang kukuh kerana pihak pengurusan ada membuat bayaran cukai taksiran kepada MPSP setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.
Turut mengiringi beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepala Batas, Zabariah Abdul Wahab dan beberapa ahli UMNO bahagian itu.
Johari dalam laporan akhbar tersebut dipetik sebagai berkata, Wisma UMNO Kepala Batas kini mempunyai tunggakan cukai mencecah RM100,000 dan bakal disita oleh MPSP jika gagal membuat bayaran.
Selain itu, Johari yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa bangunan itu turut menempatkan pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas.
Ahmad mendakwa, kenyataan Johari itu bukan sahaja mencemarkan imej Perdana Menteri tetapi turut memberi gambaran negatif terhadap kredibiliti UMNO bahagian itu.
Menurutnya, berdasarkan rekod di pejabat MPSP, pihak pengurusan Wisma UMNO itu tidak pernah gagal membayar cukai taksiran sebanyak RM1,848 setahun sejak bangunan tersebut siap dibina pada tahun 2004.
"Kalau cukai taksiran setahun hanya RM1,848, bagaimana Johari boleh menyatakan Wisma UMNO Kepala Batas tidak menjelaskan cukai sehingga RM100,000.
"Jadi kita minta Johari buat penjelasan berhubung kenyataan beliau dan kami tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini ke mahkamah jika terbukti ia satu tuduhan yang tidak berasas," katanya.