Mengenai Saya

Foto saya
Kepala Batas, Pulau Pinang, Malaysia

Rabu, 25 Februari 2009

Mencari Pemimpin Muda Berkualiti : Ciri Kepimpinan Pemimpin Pelapis

Prinsip perjuangan yang tidak mudah digugat, berpendidikan, berkebolehan dan komited adalah di antara cirri-ciri yang boleh memantapkan proses kepimpinan. Dalam kes Malaysia sememangnya ramai pemimpin pelapis perlu dicari, diasuh dan dilatih bagi memastikan Wawasan 2020 dan Misi 2057 tercapai objektifnya. Bagaimanapun pencariannya tidak mudah seperti yang disangka. Meskipun lahir banyak pemimpin dalam satu-satu masa dan pemilihan dibuat sebegitu rapi menerusi proses selektif, namun ada ketikanya tidak memenuhi kehendak masyarakat. Kesukaran untuk memilih pemimpin yang benar-benar boleh menggalas aspirasi negara ada kaitan dengan kecenderungan pimpinan hari ini.
Isunya ramai pemimpin yang hanya berupaya menunjukkan kebolehan kepimpinan kepada pucuk pimpinan di atas, tetapi gagal meyakinkan rakyat di bawah. Golongan ini dilantik ke jawatan tertentu kerana ikatan rapat dengan pemimpin di atas bukan atas kehendak dan populariti di kalangan rakyat bawahan. Fenomena ini melahirkan jenis pemimpin yang disebut artificial. Pemimpin terbaik ialah mereka yang mempunyai kedua-dua ciri iaitu disukai pimpinan atasan dan mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat bawahan.
Pemimpin yang ulung dan berjaya ialah mereka yang mampu meninggalkan impak yang besar kepada rakyat meskipun sudah tiada. Pemimpin kategori ini ialah pemimpin sejati, tahan lasak,


tahan lama atau durable dari segi khidmat dan jasanya. Dari sudut tren melahirkan pemimpin, ia diinstitusikan lazimnya melalui parti politik dominan yakni UMNO. Namun, ramai juga yang terlebih dahulu dilahirkan melalui organisasi belia sebelum menyambung bakatnya dalam parti politik seperti UMNO. Dalam erti kata lain UMNO dilihat antara ‘grooming place’ untuk melahirkan pimpinan pelapis demi survival negara, atas dasar UMNO adalah parti dominan dalam kerajaan. Justeru itu, selama mana UMNO terus menjadi tulang belakang, mereka yang bercita-cita mahu menjadi pemimpin harus melalui tarbiyah dan proses dalam parti ini.
Tidak boleh dinafikan bahawa survival negara pada masa hadapan bergantung kepada barisan kepimpinan pelapis yang ada pada hari ini.Walaupun kebanyakkan dari mereka memiliki latarbelakang pendidikan yang baik dan terdiri dari golongan professional, faktor itu harus diimbangi dengan pengalaman dan latihan menahan cabaran kepimpinan. Ini bermatlamat ke arah penyesuaian diri dan tahan diuji. Ironinya pemimpin yang berjaya adalah dari kalangan mereka yang punyai sifat pragmatisme. Barisan pemimpin pelapis di Malaysia juga harus lebih bersedia, cekal dan tabah memandangkan gambaran masa hadapan yang bakal mendepani mereka sukar dijangkakan. Pimpinan muda hari ini menghadapi isu bentuk baru, cabaran semasa yang jauh berbeza dengan pimpinan terdahulu.
Isu-isu perjuangan terdahulu seperti soal kemiskinan, pembangunan, perpaduan, bahasa dan agama tetap menjadi


agenda utama, namun cabaran sebenar pimpinan muda dan pelapis hari ini adalah melayani karenah manusia sezaman yang lebih luas pendedahan dan pengalaman mereka sama ada dari sudut IQ, EQ dan aspirasi yang pelbagai, misalnya kehendak untuk lebih liberal, pengamalan nilai-nilai universal yang seringkali mencabar status-quo budaya dan sistem yang diamalkan selama ini. Inilah cabaran sebenar pemimpin pelapis muda hari ini. Jangan hanya meneruskan dan mengulangi perkara fundamental yang sedia ada, tetapi haruslah mempunyai kekuatan untuk mendepani cabaran era teknologi hari ini. Jika mereka gagal menghadapi realiti semasa maka golongan pelapis muda hari ini akan hanya menjadi pengikut kepada isu, tidak berupaya mendahului isu atau zaman mereka sendiri. Kurang visi dan misi serta masih berpaut pada akar budaya lama yang tidak lagi selaras dengan tuntutan sezaman.
Pemimpin pelapis muda sewajarnya menjadikan penguasaan ilmu sebagai prasyarat utama dan perjuangan mereka pula tidak boleh hanya terhad pada satu kelompok pengikut semata-mata. Zaman awal 50-an dan 60-an, pimpinan berupaya menguasai keseluruhan pemikiran masyarakat. Namun di era gerbang revolusi teknologi maklumat dan kepesatan industrialisasi ini, rakyat punyai pelbagai alternative dan sumber yang boleh meyakini dan mempengaruhi pemikiran mereka, termasuk bahan-bahan ‘on line’, blog, laman web dan televisyen satelit. Bezanya mana-mana pimpinan pelapis muda yang berupaya mengketengahkan idea praktikal dan bersungguh dalam mengupayakannya akan diterima masyarakat.

Golongan pimpinan pelapis sebegini seharusnya tidak dihalang untuk terus mendaki ke puncak heraki kepimpinan. Jika tidak, dinamisme kepartian atau pertubuhan akan lenyap, tanpa suntikan idea-idea baru yang bernas lagi praktikal. Pemimpin pelapis muda juga harus berupaya meningkatkan jatidiri, mempertajamkan pemikiran, tidak gelabah apabila didatangkan sebarang cabaran dan harus mampu bersifat ‘versatile’ yakni menjadi pakar dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam persediaan untuk berinteraksi dengan dunia luar. Pendedahan, latihan kemahiran serta peluang wajar diberikan. Apa yang penting kesabaran, dan bersedia melalui proses mendaki ke puncak melalui system heraki. Jangan terlalu gelojoh dan tamakkan kuasa, belajar terlebih dahulu proses mematangkan diri, memahami organisasi dan tingkahlaku ahlinya dan bersedia untuk tidak dipersetujui oleh golongan yang lain. Pemantapan diri, kesiapsiagaan dalam pelbagai bidang amat signifikan kerana pemimpin pelapis muda hari ini berhadapan dengan majoriti rakyat yang ‘celik ilmu’ dan matang serta lebih baik latarbelakang pendidikan mereka berbanding tiga dekad yang lampau.
Akhirnya kekuatan dalaman dan jiwa yang dibimbing berpandukan nilai agama dan akhlak menjadi penentu penting kepada kejayaan pemimpin muda pelapis. Sesungguhnya untuk MENCARI PEMIMPIN MUDA BERKUALITI bukan soal main-main dan tangkap muat, tetapi merupakan tanggungjawab penting demi memastikan agenda agama, bangsa dan negara terus berkesinambungan ketamadunannya.

Mengikut Saidina Umar al Khatib r.a. “jika mahu dilihat masa hadapan Negara, lihatlah generasi muda dan belianya pada hari ini.” Acuan kepimpinan muda khususnya, haruslah mempunyai nilai tambah, kemahiran pelbagai, kreativiti yang membina serta mampu mendepani cabaran modenisasi dan globalisasi. Jalan dan ruang masih ada, ibarat kata pepatah Cina “perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang pertama”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan